Banjir, Jalan Berlopak Fokus Utama Hasbullah

hasbullah gombak setia 16 mei 02

GOMBAK, 16 MEI: Masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan DUN Gombak Setia menjadi agenda utama untuk diselesaikan Hasbullah Ridhuan.

Adun Gombak Setia baru itu berkata masalah ini penting kerana banjir di kawasan itu sering mengakibatkan kerosakan dan kerugian harta benda penduduk.

Katanya, kebanyakan struktur longkang dan saliran sedia ada berada dalam keadaan kurang memuaskan dan perlu diperbaiki agar lebih efisyen.

“Soal banjir kilat berlaku baik di peringkat taman perumahan mahupun kampung.

“Jadi sudah tentu soal banjir kilat berkait rapat dengan masalah perparitan dan juga sungai sedia ada yang saya lihat memerlukan keutamaan sangat mendesak,” jelasnya dalam satu temu bual esklusif dengan SelangorKini.

hasbullah gombak setia 16 mei 01Antara kawasan yang sering berhadapan masalah banjir adalah Taman Gombak, Kampung Kerdas dan sekitar Sri Gombak.

Ujarnya lagi, hubungan baik yang dijalinkan bersama Majlis Daerah Gombak dan Jabatan Pengaliran Saliran sebelum ini akan dimanfaatkan bagi mencari penyelesaian kepada masalah ini.

Selain itu, beberapa jalan yang sebelum ini berlopak dan berlubang turut tersenarai untuk dibaik pulih bagi meningkatkan keselesaan masyarakat di Dun Gombak Setia.

Beliau menjelaskan, masalah lain juga sedang diperincikan mengikut keutamaan bagi mengatur gerak kerja bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Saya sedang mendapatkan maklum balas daripada ketua kampung dan Ahli Majlis. Kita ada talian khas untuk mereka mengadu masalah dan aduan.

“Alhamdulillah kita sudah menerima dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) hampir kepada 10,000 penduduk di Gombak Setia untuk memberikan maklum balas berhubung aduan mereka,” katanya.

Sementara itu sebuah pasukan penerangan akan digunakan bagi memperluaskan kesedaran tentang program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), di kalangan kepada masyarakat setempat.

Bagi penduduk DUN Gombak Setia mempunyai sebarang masalah setempat, mereka boleh berhubung terus ke Pusat Khidmat Masyarakat Adun di talian 03-6188 7869.


Pengarang :