BNM bersikap pasif kukuhkan nilai Ringgit

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 JUN: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu lebih proaktif menentukan hala tuju nilai Ringgit di pasaran antarabangsa berbanding hanya menjalankan tugas asasnya yang memastikan bank berfungsi dengan baik.

Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini berikutan BNM di bawah Gebenor barunya sehingga kini belum mengumumkan sebarang kaedah dan sasaran dalam memperkukuhkan nilai Ringgit.

dr-rosli-ex-bank-negara“Nampaknya BNM betul-betul bergantung kepada keadaan pasaran. Kita tak nampak ada hala tuju BNM dalam hal ini adakah nak biarkan sampai RM5 bagi 1 Dollar Amerika atau RM3.50 atau berapa?

“Kita tak nampak ke mana Ringgit ini nak dibawa dari segi nilai pertukaran wang khususnya melibatkan negara rakan dagangan kita yang penting seperti Dolar untuk Amerika Syarikat, Euro untuk negara Eropah, Yuan Renminbi untuk China dan lain-lain,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, usaha mengukuhkan nilai Ringgit merupakan perkara sangat penting kerana memberi kesan besar terhadap keupayaan sistem pembayaran dan ekonomi negara amnya.

Bagaimanapun, Dr Rosli yakin BNM menjalankan usaha berterusan bagi memastikan sistem perbankan negara berjalan lancar termasuk melibatkan isu hutang tidak berbayar yang terus terkawal.

“Kalau hutang tidak berbayar meningkat ini tidak baik sistem kewangan dan BNM kalau kita lihat mesti mengambil berat prestasi sistem perbankan kita. Saya rasa ini langkah berterusan,” katanya lagi.

-nR-


Pengarang :