Bulan Kebajikan bantu rakyat miskin bandar

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Program Bulan Kebajikan dengan peruntukan RM250,000 diperkenalkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kelana Jaya bagi membantu rakyat miskin bandar di kawasan itu.

Ahli Parlimennya, Wong Chen, berkata program yang sudah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya terus menerima permohonan tinggi saban tahun.

IMG_8083“Setiap tahun kita akan menerima permohonan khusus untuk penduduk di Desa Mentari, Desa Ria dan Kampung Lindungan sahaja kerana ini adalah kawasan yang paling ramai penduduk miskin bandar.

“Kita mengutamakan golongan ibu tunggal, warga emas, OKU dan pesakit yang memerlukan rawatan,” katanya kepada SelangorKini.

Wong Chen berkata, program kebajikan itu membantu masyarakat yang mengalami kesempitan hidup susulan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kita mengutamakan ibu tunggal kerana mereka perlu menyara anak-anak yang ramai, malah terdapat kes kanak-kanak berusia 9 tahun tidak bersekolah kerana perlu menjaga adik yang lain.

“Dengan bantuan ini kita harap mereka menerima pendidikan dan pelajaran yang baik kerana kanak-kanak inilah harapan keluarga untuk mengubah nasib keluarga,” katanya.

Tahun lalu, 350 keluarga layak menerima bantuan Bulanan Kebajikan dan angkanya terus meningkat, namun dihadkan kepada 700 keluarga sahaja.

-AA-


Pengarang :