Cadangan atasi kematian kanak-kanak dalam kereta, kementerian membisu

hannahSUBANG JAYA, 29 OGOS – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu bertindak segera bagi mencegah kematian kanak-kanak di dalam kereta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, ibu bapa harus segera diberi kesedaran bahawa kereta bukan tempat yang selamat untuk meninggalkan mereka walaupun untuk beberapa minit.

“Saya bersama Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen menghantar surat cadangan langkah pencegahan bagi kes ini pada 22 Julai lalu kepada pejabat kementerian tetapi hingga kini tiada tindakan diambil.

“Ini supaya kementerian memastikan tiada kecuaian tidak berlaku lagi hingga menyebabkan nyawa kanak-kanak itu melayang,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada kes kematian yang menggemparkan Malaysia apabila Nawal Iris Samsudin berusia tiga tahun ditemui mati selepas ditinggalkan di dalam kereta hampir lima jam di USJ4, Subang Jaya, Julai lalu.

Selain itu, kejadian sama berlaku di Ipoh baru-baru ini apabila seorang kanak-kanak lelaki diselamatkan sepasukan bomba selepas terperangkap hampir 30 minit dalam kereta.

Hannah berkata, gesaan itu perlu supaya kementerian dapat mengemukakan statistik keseluruhan di seluruh Malaysia bagi kes kecuaian yang mengakibatkan kematian ini.

“Mereka perlu keluarkan data rasmi kes ini. Saya percaya banyak lagi kes kecuaian tinggal anak dalam kereta ini berlaku tetapi tidak direkodkan,” katanya.

– FZL


Pengarang :