Caj Air Komersil: MPAJ Siasat Dakwaan SYABAS

SHAH ALAM 16 NOV : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang menyiasat dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung kenyataan syarikat konsesi itu yang menyalahkan MPAJ atas mengenakan caj kadar komersial kepada penduduk walaupun premis mereka adalah kediaman.

Ahli Majlis MPAJ, Meor Rithuan Said berkata perkara terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat MPAJ akan datang bagi memastikan perkara itu.

Sebelum ini, penduduk di Pandan Jaya dan Pandan Perdana membantah tindakan Syabas yang didakwa bertindak menukar status meter air mereka daripada ?kediaman? kepada ?perniagaan?.

Penukaran itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar bil air empat kali ganda berbanding sebelum ini malah mereka juga tidak mendapat air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

Penduduk turut mempertikaikan mengapa Syabas bertindak demikian sedangkan mereka sudah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat pula mendakwa satu siasatan terperinci dilakukan dan mendapati tindakan Syabas mengenakan caj kadar komersial adalah atas kelulusan pihak MPAJ.

Mengulas lanjut, Meor menafikan perkara terbabit bagaimanapun pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan MPAJ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.

Katanya, setakat ini, sebanyak 26 penduduk pangsapuri di sekitar kawasan terbabit membuat aduan berhubung kejadian itu.


Pengarang :