Dakwaan rasuah, MPK sedia disiasat

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersedia disiasat ekoran tuduhan berlaku salah laku dalam projek pembinaan penyimpanan abu mayat berdekatan sebuah kawasan perumahan di Klang.

Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata beliau bersedia melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar dakwaan yang dibuat Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah.

MPK“Ada dia bagi apa-apa bukti tentang bayaran (rasuah) dan jika ada bagi kepada saya untuk saya laporkan kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan media.

Yasid berkata dakwaan rasuah oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu terhadap kakitangan MPK dalam isu berkenaan diambil serius dan siasatan akan dijalankan oleh Bahagian Integriti MPK .

“MPK juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dengan rasuah dan akan mengambil tindakan tegas jika didapati mereka benar-benar terlibat,” katanya.

Beliau berkata pihak MPK mengesahkan ada menerima permohonan pihak pemaju berhubung pembinaan penyimpanan abu mayat pada 22 Mei lalu tetapi ia masih belum diluluskan.

“Kita terima permohonan, kita akan panjangkan ke Jabatan Teknikal untuk memberi ulasan terhadap permohonan tersebut,” katanya, sambil menambah proses pendengaran awam akan dilakukan bagi mendengar pendapat dan bantahan penduduk.

Sebelum ini, bantahan sama juga pernah dilakukan di tapak penyimpanan abu mayat berkenaan dan baru-baru ini NGO terlibat turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi di Bangunan MPK.

EZY


Pengarang :