Dr Rani : Bincang Dulu Sebelum Keluar Kenyataan

pc rani 2

SHAH ALAM 26 DIS : Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menggesa pemimpin komponen Pakatan Rakyat (PR) supaya berbincang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan isu agama yang sensitif.

Ini supaya kenyataan itu tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mahu mengalih perhatian daripada isu-isu lain yang dibangkitkan PR seperti pengambilan tanah oleh Umno-BN Selangor.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi yang dibangkitkan setelah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut agar kalimah Allah dibenarkan di dalam Kitab Injil Bahasa Malaysia.

Dr Rani turut menafikan kenyataan portal Sinar Harian yang mendakwa Pas Selangor mencemuh kenyataan Guan Eng.

“Saya menegaskan Pas Selangor tidak mencemuh, sebaliknya saya hanya mahu isu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan tidak dimanipulasi oleh media.

“Saya juga meminta supaya isu ini tidak dipanjangkan memandangkan ia masih menjadi kes mahkamah,” katanya ketika dihubungi.

Oleh kerana isu tersebut masih menjadi kes mahkamah, Dr Abdul Rani menggesa semua pihak agar menunggu keputusan mahkamah.

Sebelum ini, Guan Eng dalam perutusan Hari Natalnya, meminta agar Kerajaan Pusat membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab Injil Bahasa Malaysia yang digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.


Pengarang :