Himpunan Hijau Cipta Sejarah Baru Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 NOV – Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang memuji semangat dan kesungguh peserta Himpunan Hijau yang konsisten mendesak agar Kerajaan Pusat membatalkan segera projek nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang.

Sambil menggelarkan peserta himpunan yang bermalam di Dataran Merdeka sebagai ‘Pencipta sejarah baru Malaysia’ Kit Siang berkata rakyat kini lebih faham menzahirkan erti kemerdekaan sebenar dalam mempertahankan hak.

“Selepas 55 tahun kemerdekaan, rakyat memberikan makna baru Dataran Merdeka.

“Ini adalah Dataran Merdeka Rakyat.

“Selepas pilihan raya (PRU-13) marilah membina kerajaan baru dan Malaysia baru yang lebih sejahtera bersama rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas dihadapan hampir 400 orang peserta pagi ini.

Turut hadir sama dalam himpunan ringkas pagi ini beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain antaranya Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Exco Selangor, Ronnie Liu, Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar .

Semalam menyaksikan hampir 10,000 orang peserta menyertai kumpulan Himpunan Hijau yang telah berjalan kaki hampir 300km bermula di Kuantan, Pahang dan berkumpul di Dataran Merdeka.

Namun, kumpulan berkenaan gagal ‘menembusi’ kawasan dataran yang dikawal ketat oleh pihak polis dan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL).


Pengarang :