KDN abai permohonan MyKad warga emas walaupun JPN sokong

ic

KUALA KUBU BHARU 10 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta meluluskan permohonan seorang warga emas untuk mendapatkan taraf kerakyatan dengan MyKad biru kerana dia didakwa memenuhi segala kelayakan ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Hulu Selangor juga menyokong permohonan Hong Lee Lon itu.

Beliau berkata, wanita berusia 75 tahun yang juga ibu kepada 12 anak dan 20 cucu itu lebih tiga kali memohon MyKad biru tetapi ditolak KDN tanpa sebarang alasan.

“Pegawai JPN Hulu Selangor juga kasihan, mereka pun kenal dia. Mereka kata sokong dan permohonannya sudah dihantar ke KDN Putrajaya untuk diproses.

“Jadi, saya akan bawa Lee Lon ke KDN Putrajaya dengan harapan mereka mempercepat permohonannya,” kata beliau pada sidang media di sini, semalam.

Kee Hiong berkata, kali terakhir Lee Lon membuat permohonan ialah 7 Mac lalu dan berharap proses kali ini dijalankan dengan cepat.

“Bila ditanya proses berapa lama, dimaklumkan dalam satu, dua tahun. Tak perlulah begitu lama. Sekarang zaman teknologi maklumat. Kita harap sebelum Tahun Baru Cina 2014, dapat MyKad biru,” katanya.

Difahamkan, Lee Lon yang lahir di Perak dan menetap di sini sejak puluhan tahun hanya berstatus kerakyatan tetap dengan memiliki MyKad merah.

Anak sulungnya, Chan Yaw Pun, 57, juga berharap permohonan ibunya untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan dengan MyKad biru akan dipenuhi kali ini.

– FZL


Pengarang :