KEADILAN cadang mekanisme baru elak kenaikan tol

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 JUN : KEADILAN mencadangkan mekanisme terbaik bagi memastikan kadar kenaikan tol tidak berlaku peningkatan bagi memastikan kepentingan kebajikan rakyat terjamin.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, berkata mekanisme itu memberi keutamaan kepada syarikat konsesi sebagai jaminan keuntungan munasabah tanpa perlu membebankan rakyat.

TOL LEBUHRAYA“Dicadangkan mekanisme yang dikenali sebagai ‘first right of refusal’ dalam menyelesaikan isu kenaikan harga tol.

“Mekanisme ini mengetengahkan bahawa konsesi tol mendapat keutamaan terlibat dalam projek lebuh raya akan datang sebagai tawaran tidak menaikkan harga tol kepada pengguna lebuh raya.

“Cadangan ini mampu melindungi kepentingan rakyat memandangkan konsesi tol diberi jaminan keuntungan munasabah untuk projek akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Pentadbiran Najib dijangka membuat pengumuman kenaikan kadar tol baru melibatkan beberapa tol termasuklah di lebuh raya utama PLUS, Link kedua Malaysia-Singapura, hujung bulan ini.

Selain itu, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) juga dijangka berlaku peningkatan kadar tol sehingga 5 peratus.

Keputusan tersebut bakal memberi kesan jangka panjang kepada pengguna tol khususnya menjelang sambutan perayaan Aidilfitri Julai ini.

Nurul Izzah berkata, perjanjian syarikat konsesi bersifat berat sebelah menjadi penyebab utama Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar pampasan tinggi sebanyak RM2.2 bilion untuk tempoh enam tahun.

“Di mana duit dan hasil GST? Kerajaan telah mengutip wang rakyat daripada GST sebanyak RM 27 billion pada tahun 2015

“Kerajaan sepatutnya menggunakan hasil GST tersebut sebagai pulangan kepada jerih perit rakyat sebagai pembayar cukai dalam bentuk menurunkan kadar harga tol,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

EZY


Pengarang :