(KEMAS KINI) Seorang Maut, 5 Cedera Dalam Kejadian Runtuhan Bumbung Banglo

SHAH ALAM, 19 OKT : Polis mengesahkan seorang mangsa maut dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini. Kesemua enam mangsa adalah pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara buruh yang maut dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Anggota SMART juga turut membantu dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari yang turut turun padang melihat kejadian itu menasihati warga Shah Alam yang berhasrat melakukan pengubahsuaian rumah agar mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau yang juga Adun Kota Anggerik berkata, ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di masa hadapan yang boleh mengorbankan nyawa.


Pengarang :