Kerajaan Malaysia Digesa Bawa Pesalah Kes TBH Ke Mahkamah

SHAH ALAM 13 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk membawa orang-orang yang bersalah dalam kes Teoh Beng Hock ke muka pengadilan

Menerusi satu kenyataan media, Abdul Khalid menyatakan Teoh adalah seorang anak muda yang bekerja keras bagi memastikan acara reformasi kerajaan Pakatan Rakyat dijalankan dengan berjayanya.

Malahan, Kejadian yang berlaku terhadap Teoh adalah satu kes malang bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada negara terutamanya institusi kerajaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM)

“Terdapat banyak insiden kematian dalam tahanan yang telah berlaku sebelum ini tetapi kes Teoh membuka mata orang ramai terhadap profesionalisme SPRM.

“Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang SPRM untuk menyiasat mana-mana individu, agensi atau jabatan Kerajaan Negeri bagi membanteras rasuah tetapi kita menuntut SPRM supaya bersikap telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjadikan kes Teoh sebagai satu pengajaran,” katanya.

Pada 5 Januari 2011, mahkamah memberikan keputusan ‘terbuka’ berhubung punca kematian bekas pembantu Exco Selangor Teoh Beng Hock, 30, yang ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan tersebut.

Dengan keputusan terbuka itu bermakna mahkamah tidak dapat memutuskan punca yang membawa kepada kematian Teoh yang dibacakan oleh Koroner Azmil Muntapha Abas

Koroner Azmil menolak teori bahawa Teoh mati kerana dibunuh ataupun membunuh diri.

Laporan meluas kes ini ekoran Teoh ditemui meninggal dunia selepas beberapa jam disoal siasat oleh SPRM mengenai dakwaan penyalahgunaan peruntukkan Kerajaan Selangor yang menyaksikan 37 saksi dipanggil memberikan keterangan termasuk patologis Thailand yang terkenal Dr Pornthip Rojanasunand.

Dr Pornthip mendakwa Teoh mungkin dibunuh, menyebabkan mayat Teoh digali semula untuk bedah siasat kedua.


Pengarang :