Kes Aminulrasyid : Demi Keadilan, Peguam Negara Mesti Fail Rayuan

SHAH ALAM,5 DIS : Peguam Negara digesa memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Koperal Jenain Subi,49, dalam kes menembak mati remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dua tahun lalu.

Peguam, N Surendran ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan, Peguam Negara dan polis perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana tiada keadilan diberikan kepada pihak keluarga mangsa dalam kes itu.

“Dari awal lagi polis cuba menutup apa yang berlaku dan membuat kenyataan palsu mengenai wujudnya parang di dalam kereta.

“Dan juga menyatakan Aminulrasyid cuba memandu kereta ke arah polis yang kesemuanya ini dibuktikan tidak benar,” kata Surendran.

Jelas beliau, apa yang mengecewakan adalah sehingga kini polis tidak pernah memohon maaf berkenaan kes ini.

“Kita menuntut supaya pihak Peguam Negara memfailkan rayuan secepat mungkin dan juga pihak kerajaan dan polis membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid kerana mengeluarkan kenyataan palsu,” katanya.

Ujarnya lagi, kini beliau menunggu arahan seterusnya daripada pihak keluarga Aminulrasyid untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes ini menunjukkan perlunya diwujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) oleh kerajaan agar boleh menyiasat salahlaku yang dilakukan oleh anggota polis.

“Antara sebab utama kerana tiada keadilan berlaku dalam kes ini ialah ketiadaan IPCMC,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuan Jenain, memutuskan demikian selepas mendapati Jenain tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September 2011, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Ketika menjatuhkan itu, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.


Pengarang :