Kuala Selangor jadi pilihan pemaju hartanah

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 JUN: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor meluluskan lapan permohonan tukar syarat tanah pertanian kepada pembangunan bercampur setakat 31 Mei 2016.

Pegawai Daerah, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, berkata sejumlah RM24.75 juta premium diterima daripada permohonan berkenaan.

Katanya, premium berjumlah RM51 juta diterima bagi 20 kelulusan sama pada 2015.

Kuala-Selangor.10“Kuala Selangor semakin menjadi pilihan pemaju hartanah memandangkan tahap guna tanah daerah metropolitan seperti Petaling, Klang dan Gombak hampir mencapai tahap maksimum.

“Kebanyakan pemaju memilih untuk membangunkan kawasan kediaman atau komersil,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Pekan Jeram, semalam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Exco Negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Baginda Sultan turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM176,500 kepada 86 asnaf fakir dan miskin serta 67 mualaf.

Sejurus berbuka, baginda menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta disusuli solat sunat Terawih berjemaah sebelum berangkat pulang.

EZY


Pengarang :