Menteri Ada Kuasa Batal Perjanjian Konsesi Air

charles santiago

SHAH ALAM, 11 JAN: Kerajaan Pusat mempunyai kuasa mutlak untuk membatalkan perjanjian konsesi yang ditandantangani bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) seperti yang diminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah dua kali menulis surat kepada Kerajaan Pusat bagi mendesak pembatalan perjanjian konsesi berkenaan namun ditolak.

Menurutnya, Seksyen 28 (1) didalam surat perjanjian konsesi menyatakan enam perkara yang boleh membawa kepada keperluan untuk membatalkan perjanjian konsesi.

Antara perkara tersebut adalah kerja-kerja yang diputuskan di dalam perjanjian tidak diikuti dan standard atau kualiti kerja, perkhidmatan tidak mematuhi peraturan perjanjian juga boleh dijadikan sebab untuk membatalkan perjanjian konsesi.

“Kalau kita baca perjanjian konsesi diantara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Syabas, Seksyen 28 (1) menyenaraikan enam sebab yang boleh digunakan oleh menteri menamatkan perjanjian,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Katanya, pembatalan ini boleh diputuskan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui memandangkan Kerajaan Selangor sudah bersedia untuk mengambilalih pengurusan air negeri.

Jelasnya, Peter Chin hanya ingin mengelirukan rakyat memandangkan Selangor kini ‘berdepan krisis air’ sejak dua minggu lalu.

Peter Chin dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan, bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menghalang Kerajaan Negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air itu kerana Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang ekuiti dalam syarikat Syabas kecuali ‘golden share’ untuk membuat pemantauan.


Pengarang :