Pekan Semenyih Perlu Lampu Jalan

SEMENYIH 7 MAC : Ketiadaan lampu jalan di sepanjang laluan utama pekan ini menimbulkan kebimbangan dari segi soal keselamatan pengguna selain kejadian jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pelbagai usaha dilakukan pihaknya dan DUN untuk memohon lampu jalan namun kesemuanya tidak berhasil.

“Alasan yang kita terima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ialah tiada permohonan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi buat masa ini kita cuma bergantung harap pada lampu-lampu kedai sekitar sini dan juga lampu masjid. Namun sampai waktu tertentu keadaan menjadi gelap gelita bilamana kesemua lampu ini tadi sudah tertutup,” jelas Dr Che Rosli.

Sementara itu, Penyelaras DUN, Nor Azlan Mohamad berkata, keadaan gelap di sini ketika malam menyebabkan banyak kemalangan jalan raya dan ada antaranya kemalangan maut.

“Selain itu, kita juga risau keadaan gelap begini memberi ruang kepada kejadian jenayah yang berleluasa,” ujar Nor Azlan yang ditemui ketika tinjauan lokasi di sepanjang jalan utama sepanjang kira-kira 3 kilometer itu.

Bagi Fazil Zakaria ,40, penduduk dari Kampung Sungai Macang berkata, pekan ini sudah lama wujud dan kini laluan ini semakin sibuk. Jadi lampu jalan itu sepatutnya diadakan.

“Terutama waktu pagi penduduk keluar untuk bekerja, ibubapa hantar anak ke sekolah, keadaan yang gelap memang mampu mengundang bahaya,” beritahu Fazil.


Pengarang :