PEKAWANIS anjur Iftar Ramadan rai warga Palestin, Rohingnya

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN : Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menganjurkan Majlis Iftar Ramadan peringkat negeri di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan di sini, semalam.

Penganjuran julung kalinya majlis itu diadakan untuk meraikan golongan memerlukan termasuk anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Anak-Anak Kuala Langat dan Rohingnya Education Centre Klang.

CP2A2070Lebih istimewanya, majlis juga meraikan warga Palestin bermastautin di negeri ini selain turut dimeriahkan dengan kehadiran saudara cina muslim sekitar Shah Alam.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran Pengerusi Pekawanis, Datin Seri Shamshida Tahrin, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Semua tetamu hadir turut menunaikan solat Magrib dan terawih berjemaah dengan diimamkan Ustaz Syeikh Mohd Haikal dan sesi tazkirah disampaikan Dai Milenia, Mohd Anas Khamis.

Sebagai tanda kepihatinan Kerajaan Negeri, Shamshida turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan mualaf sebagai persediaan sambutan Syawal ini.

Sementara Restoran Makanan Cina Muslim, Mohd Chan pula menjadi penaja utama juadah berbuka puasa sepanjang program berlangsung.

Menyambut baik usaha murni itu, Shamshida menerusi ucapan Majlis Perasmian Program berharap lebih banyak lagi syarikat dan individu berkemampuan menjayakan program kebajikan demi manfaat jangka panjang kepada golongan memerlukan.

“Kita perlu mencemburui orang yang berharta dan membelanjakan hartanya ke arah jalan yang diredhai Allah.

“Semoga amalan kebajikan ini akan menjadi contoh kepada lebih ramai masyarakat di luar untuk terus beramal dan menyumbang kepada kebajikan golongan memerlukan,” katanya.

EZY


Pengarang :