Pendedahan RCI Sabah, Bukti Jabatan Kerajaan Diperkuda BN

mahathir azmin copy

PETALING JAYA 17 JAN : Pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing di Sabah membuktikan jabatan serta agensi kerajaan diperkuda BN bagi menjamin kesinambungan hayat mereka dalam Pilihan Raya Umum.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media hari ini mendakwa, usaha itu melibatkan peranan institusi penting di bawah bidang kuasa Perdana Menteri seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

“Kita sedang meneliti keterangan beberapa saksi beberapa kejutan berlaku, nama-nama disebut, dan perkara ini sebenarnya tidak mengejutkan kita.

“Ini satu usaha terancang yang diketuai mantan PM dan bagi saya beliau pengkhianat negara kerana bagi kad pengenalan kepada warga asing untuk kekalkan kuasa politik Umno,” tegas Azmin.

Sehubungan itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu serius melibatkan kedaulatan negara ini.

“Usaha terancang ini sama sekali tidak boleh dimaafkan, tidak boleh diterima kerana memberi hak kepada warga asing untuk menentukan masa hadapan negara,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah mendakwa beliau dan beberapa orang menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Semalam, saksi lain pula mengaitkan dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah ketika memberi keterangan kepada RCI.

Bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin juga mendakwa menerima arahan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.


Pengarang :