Persidangan antarabangsa mualaf 2013 diyakini, dipuji

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03BANDAR SERI PUTRA 9 SEPT : Persidangan Antarabangsa Pembangunan Mualaf 2013 anjuran Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS) mendapat pujian dari Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mendekati isu pembangunan mualaf berdasarkan kajian keatas pengalaman dari pakar-pakar terlibat.

Abdul Khalid berkata pendekatan itu wajar dijadikan contoh dalam mendekati pelbagai isu mendesak kerana ia membantu membuka perspektif serta menjana idea-idea baru.

“Saya percaya pendekatan ini sangat bernas,” kata Abdul Khalid, “Persidangan ini membentangkan kertas kerja dan pengalaman pakar-pakar kita yang telah membuat kajian mengenai usaha mereka membangunkan golongan mualaf.”

Beliau berkata demikian di satu sidang akhbar selepas merasmikan persidangan itu. Persidangan ini dianjurkan oleh KUIS, bersama Institut Islam Hadhari UKM dan disokong Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Turut hadir, Rektor KUIS, Profesor Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri dan Setiausaha MAIS, Datuk Mohd Misri Idris.

Selain kertas kerja hasil kajian tempatan, persidangan berlangsung dari 7 September hingga 8 September turut meneliti kajiselidik dari luar negara seperti dari Indonesia dan Singapura.

Abdul Khalid melahirkan keyakinan MAIS akan merangka kaedah terbaik mendekati isu pembangunan mualaf selepas pembentangan dalam persidangan itu dibukukan bagi tujuan rujukan.

Sementara itu, Abd Halim berkata, Selangor adalah antara negeri tertinggi di negara ini yang mencatat golongan bukan Islam yang memeluk Islam saban tahun.

“Pada tahun lepas perangkaan menunjukkan kira-kira 1,500 orang muallaf dan tahun ini setakat Julai ia sudah memcecah hampir 1,400 orang yang memeluk Islam.

“Ia bukan setakat orang India dan Cina tetapi dari bangsa lain macam Kadazan, orang Sabah, Sarawak termasuk dari luar negara seperti Filipina memeluk Islam di Selangor,” katanya.


Pengarang :