Peruntukan RM5 juta, ABIM salur sumbangan seluruh negara

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 12 JUN : Peruntukan sebanyak RM5 juta disalurkan Angkatan Belia Malaysia (ABIM) sebagai agihan sumbangan kepada golongan memerlukan di seluruh negara, sepanjang tahun ini.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim, berkata jumlah tersebut meliputi pelbagai program kebajikan bermula Januari lalu.

“Sepanjang Ramadan, kita memperuntukkan sejumlah RM600,000 untuk bantuan Ramadan bagi program Kempen Seorang Sekampit Beras, tetapi bagi jumlah keseluruhan program Sinar Ramadan, RM2 juta disalurkan untuk bantuan kebajikan.

abim 1“Bagi peruntukan keseluruhan untuk program sepanjang tahun, peruntukan kita sekitar RM5 juta dan kita harap jumlah ini akan mencapai sasaran dengan agihan kepada golongan memerlukan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan Ramadan sempena Kempen Seorang Sekampit Beras.

Terdahulu, seramai 30 penerima terdiri daripada ibu tunggal, golongan asnaf dan fakir miskin penduduk Kampung Sungai Kertas, Gombak di sini pagi ini.

Raimi berkata sebanyak 122 cawangan membabitkan sukarelawan ABIM seluruh negara kini digerakkan bagi mengenal pasti golongan sasar yang layak menerima bantuan.

Katanya, antara kriteria penerima sumbangan adalah mereka terdiri daripada golongan asnaf, mualaf, anak yatim disenaraikan Lembaga Zakat.

“Kita berbincang dengan AJK masjid dan suara serta qariah setempat dan mereka yang kita utamakan adalah mereka yang layak menerima bantuan zakat dan penerima bantuan sebagai fakir miskin.

“Selain itu, individu yang dilanda musibah seperti kecacatan juga layak menerima bantuan,” katanya.

Tahun lalu, ABIM giat menyerahkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada lebih 4,600 keluarga di seluruh negara menerusi hasil sumbangan orang awam dan syarikat swasta.

EZY


Pengarang :