Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Caves mula operasi di Taman Amaniah

Amirudin1SHAH ALAM 23 OKT: Dalam usaha menjamin kepentingan masyarakat Taman Amaniah Mulia dan kawasan berhampiran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari, membuka Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di kawasan terbabit.

Amiruddin berkata, pejabat baru yang terletak berhampiran belakang Masjid Jamek Taman Amaniah dan bersebelahan Pasaraya Speedmart 99 itu juga bakal memberi keselesaan golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk berurusan, berbanding perlu menaiki tangga di lokasi sebelum ini.

Katanya, pembukaan pejabat baru itu diharap dapat melicinkan lagi perkhidmatan beliau terhadap penduduk di kawasan itu.

“Justeru, saya harap dengan pertukaran lokasi ini akan memudahkan masyarakat setempat untuk hadir berurusan dengan kami, terutama warga emas dan OKU kerana terletak di aras bawah,” katanya selepas Program Ziarah Korban di Taman Jasa Utama, baru-baru ini.

Beliau berkata, pejabat PKM itu akan beroperasi dari Isnin hingga Khamis bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali pada waktu rehat iaitu jam 1 tengahari hingga 2 petang, manakala Jumaat pula dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari, sebelum dibuka semula pada jam 2.30 petang.

“Persetujuan menggunakan pejabat yang asalnya adalah Dewan Masyarakat itu diperolehi hasil perbincangan antara saya dan Persatuan Penduduk,” katanya.

-NFN-


Pengarang :