PWS: Sebahagian tanah wakaf belum berpotensi untuk pembangunan

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 JUN: Sebahagian besar hartanah wakaf diuruskan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) belum sesuai dan berpotensi bagi tujuan pembangunan.

Pengerusi PWS, Datuk Ramli Mahmud, berkata berdasarkan rekod, lebih 90 peratus hartanah itu terletak di kawasan luar bandar dan berkeluasan kecil.

CP2A1398-800x533“Keadaan ini menyebabkan tanah ini belum lagi berpotensi untuk dimajukan.

“Di samping itu terdapat tanah wakaf khas untuk tapak masjid, surau dan tahfiz yang tidak boleh dibangunkan berdasarkan kepada niat pewakaf kerana telah terdapat pembangunan itu di kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes tertentu berkaitan tanah wakaf ia adalah di luar kawalan PWS sebagaimana hasil laporan pejabat Ketua Audit Negara mengenai terdapat lebih 25 peratus tanah masih belum dipindah milik dan kes menjangkau lebih 40 tahun.

Ini kerana, katanya, pewakaf hanya mewakafkan sebahagian kecil tanah dalam satu-satu lot tanah selain proses pecah tanah tidak dilaksanakan pihak berkaitan.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Ia membabitkan 70 peratus dari kes yang tidak dapat dipindah milik manakala bakinya adalah disebabkan kehilangan geran dan pihak pewakaf tidak mengambil tindakan untuk mendapatkan geran ganti,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, setakat ini 858 lot hartanah wakaf sudah didaftarkan dan sebahagiannya dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan.

“394 lot (45.92 peratus) dimanfaatkan dengan pembinaan masjid, surau, sekolah dan lain-lain, 23 lot (2.68 peratus) sedang dibangunkan atau dalam proses perancangan projek perumahan dan komersil.

“128 lot (14.92 peratus) pula dikenalpasti tidak dapat dimanfaatkan kerana keluasan kecil, tidak ekonomi dan lokasi tanah tidak strategik di mana ia hanya dapat dibangunkan setelah selesai proses istibdal.

“Manakala 187 lot (21.79 peratus) dalam proses pecah sempadan bagi menentukan geran hak milik MAIS di mana ia hanya boleh dimanfaatkan selepas hak milik diperoleh namun membabitkan masa lama dengan kos tinggi,” katanya.

-nR-


Pengarang :