Siap siaga hadapi banjir

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Susulan arahan persediaan menghadapi fenomena air pasang besar dijangka bermula esok, Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Kuala Selangor bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan banjir.

Pengerusinya, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, persediaan awal diambil di beberapa kawasan penempatan berisiko berhampiran pantai di daerah itu.

“Untuk makluman awal, lokasi berisiko tinggi seperti Tanjung Karang, Kampung Kuantan, Pantai Remis dan Pekan Sungai Buloh akan dipantau secara berperingkat.

“Arahan juga sudah dikeluarkan kepada beberapa agensi keselamatan yang berkenaan seperti polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Malaysia,” katanya.

Shamsul Shahril berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut diminta memantau sistem perparitan dan benteng di pesisir pantai supaya ia dalam keadaan baik.

Katanya, selain itu, pihaknya bersama agensi kerajaan berkaitan mengenal pasti pusat pemindahan banjir yang sesuai untuk mangsa bencana itu nanti.

“Kita juga memberikan hebahan dan maklumat persediaan banjir kepada pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung untuk penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya membuat persiapan seperti mengemas barangan elektrik dan berharga di tempat lebih selesa sekiranya diminta untuk berpindah ke pusat penempatan banjir.

“Kita harap tiada musibah buruk yang akan menimpa dan segala kerjasama setiap jabatan amat diperlukan bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.

Fenomena air pasang besar pertama diramalkan berlaku bermula esok sehingga Jumaat ini di lima daerah berisiko tinggi iaitu Klang, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.


Pengarang :