SUARAM : Henti ‘Ganggu’ Pemberi Maklumat, Siasat Suspek Rasuah

 

SHAH ALAM 5 JULAI : Kerajaan Umno-BN digesa untuk menyiasat suspek dalam skandal rasuah berhubung pembelian kapal selam Scorpene dan bukannya pihak yang menjadi pemberi maklumat.

Sekretariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata, ‘gangguan ‘oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan membuat pemeriksaan mengejut ke premisnya baru-baru ini adalah contoh yang mengejutkan berhubung keutamaan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Sebaliknya siasat segera aktiviti syarikat yang dipersoalkan seperti Perimekar dan Terasasi baru-baru ini yang didedahkan di Paris.

“Pihak berkuasa memutuskan untuk mengganggu Suaram, pemberi maklumat dalam skandal berterusan Scorpene, yang melibatkan sekurang-kurangnya RM500 juta komisyen,” kata Sekretariat Suaram dalam kenyataan media.

Jelas kenyataan itu, lawatan oleh SSM mengenai ‘pemeriksaan rutin’ mengurangkan kredibiliti agensi itu apabila jelas  bahawa sebelum ini Suaram mempunyai rekod yang cemerlang selama 23 tahun dan mengemukakan rekod kepada SSM sejak tahun 2002.

Pada 2011 Suaram dikurniakan dengan anugerah daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Kami mempersoalkan motif politik SSM apabila mereka melakukan pemeriksaan ‘rutin’ untuk kali pertama selepas lebih 23 tahun beroperasi.

“Suaram tiada apa yang hendak disembunyikan dan kami bersedia untuk mematuhi mana-mana kehendak yang dinyatakan di bawah undang-undang dalam mengemukakan rekod sepenuhnya pengauditan kami,” katanya.

Jelasnya, Suaram berkembang selama 23 tahun melalui derma oleh sumber-sumber awam dan swasta dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada penaja.

“Kami adalah sebuah pertubuhan bukan membuat keuntungan dan kami bangga perkhidmatan tidak mementingkan diri sendiri .

“Kami pembayar cukai di Malaysia dan sumbangan kami adalah untuk  keadilan demokrasi Malaysia, dan hak asasi manusia,” kenyataan itu dipetik.

Semalam, pegawai SSM sekali lagi mencuba tetapi gagal untuk menyampaikan notis pemeriksaan kepada Suaram.

Tiga pegawai SSM yang diketuai Timbalan Pendaftar, Azahari Ab Rahman tiba beberapa minit sebelum pejabat ditutup pada jam 5.53 petang dan mendapati tidak ada kakitangan yang layak menerima notis tersebut.


Pengarang :