Sultan Selangor Dukacita Isu Ajaran Sesat

BANGI, 3 JULAI : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kekecewaannya mengenai penyebaran ajaran sesat di negara ini serta berharap umat Islam kembali bersatu untuk memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan agar terus dipandang mulia dan dihormati.

Dalam titahnya sempena Forum Perdana Ehawal Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bandar Baru Bangi di sini semalam, Baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor tidak mahu ajaran-ajaran sesat itu meresapi minda generasi muda di sekolah, Institusi Pengajiaan Tinggi dan seterusnya di dalam masyarakat.

“Amalan-amalan  yang sedang aktif di negara ini di antaranya adalah seperti mengkafirkan para sahabat Rasulullah SAW, mendakwa guru mereka sebagai nabi dan menghalalkan beberapa perkara yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunah Waljamaah amat membimbangkan Beta kerana ajaran tersebut bergerak secara halus melalui pertubuhan tertentu.

“Beta berharap fatwa-fatwa yang diwartakan dapat dikuatkuasakan secara berkesan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada.

“Beta mengingatkan perkara ini kerana Beta tidak mahu melihat umat Islam berpecah dan menjadi lemah sedangkan umat Islam pada masa sekarang ini berhadapan dengan bermacam-macam masalah umpamanya isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), isu murtad, pluralisme agama, penghinaan dan kritikan terhadap agama Islam serta lain-lain yang boleh membawa kepada kehancuran sekiranya tidak ditangani dengan segera dan berhemah,” titahnya.

Titahnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara-negara yang bergolak di dunia akhir-akhir ini memperlihatkan kepada kita bahawa perpecahan tidak akan membawa kepada sebarang kebaikan sebaliknya ia akan mencetuskan huru-hara dan seterusnya kemusnahan kepada bangsa dan negara yang berkenaan.

Umat Islam juga perlu meningkatkan tahap pengetahuan, kefahaman dan penghayatan ajaran Islam sebagai benteng kukuh supaya tidak tergelincir ke dalam kancah ajaran dan penyelewengan daripada ajaran Islam sebenar.

“Di kesempatan ini, sukacita Beta mengajak seluruh umat Islam di negeri ini agar bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala keran kita masih dapat mengekalkan keamanan dan hidup dalam suasana harmoni, sejahtera dan dapat bekerjasama serta memahami kehendak dan keperluan di antara pelbagai kaum di negeri ini.

“Justeru, kita semua hendaklah berusaha mengukuhkan lagi perpaduan yang masih terjalin khususnya hubungan di natara umat Islam sendiri dan masyarakat yang lain agar kita dapat terus hidup dalam keadaan aman dan damai,” titahnya.

Baginda Sultan Selangor juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak yang akan datang tidak lama lagi kepada seluruh umat Islam khususnya yang berada di Selangor.


Pengarang :