Syawal Disambut Jauh Di Perantauan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Walaupun Solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah meriah dengan kehadiran berpuluh ribu umat Islam, terdapat ramai juga insan yang menyambut Syawal pertama dengan perasaan sayu.

Dianggarkan, lebih 15,000 umat Islam terdiri daripada penduduk Shah Alam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi.

Lebih setengah dari jemaah di masjid itu terdiri dari warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang mengorbankan peluang untuk menyambut hari yang bermakna ini dengan isteri, anak dan ibubapa kerana mencari nafkah untuk keluarga.

Seorang warga Bangladesh Mohd Fidaus Abdullah, 29, berkata, ini merupakan kali ketiga beliau meraikan Aidilfitri jauh di perantauan.

“Saya diberi cuti oleh majikan selama dua hari dan peluang ini akan digunakan untuk berkumpul bersama kawan-kawan bagi mengubat kerinduan di kampung,” katanya yang bekerja di sebuah restoran India-Muslim di Seksyen 18, Shah Alam.

Tidak ketinggalan mengambil peluang berkumpul beramai-ramai ialah seorang warga Indonesia, Raditya Khusni, 35, yang berkata dia tidak dapat pulang ke kampung kerana bekerja.

“Saya mahu pulang tetapi lebih baik saya tinggal di sini dan mengirim wang kepada isteri saya,” katanya yang sudah lapan tahun menyambut aidilfitri di sini.

Turut menunaikan solat, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Juga hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.


Pengarang :