Tempat Letak Kereta Jadi Sarang Penagih, Stor Barang

 

PANDAN 21 MEI: Dua buah tempat letak kereta bertingkat di Taman Pandan Indah Commercial Park di sini yang dibiarkan tanpa kawal selia dan penyelenggaraan sempurna menyukarkan penduduk setempat menggunakan kemudahan awam berkenaan.

Tinjauan pihak media bersama Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Abdul Samad mendapati, kedua-dua tempat letak kereta itu telah dijadikan sebagai stor menyimpan barang perniagaan.

Penduduk setempat juga khuatir bangunan yang terletak di Jalan 6/2 dan Jalan 6/7, menjadi sarang penagih dadah dan kaki botol.

Lebih mengejutkan, tingkat dua tempat letak kereta di Jalan 6/7 telah dipagar bagi menghalang mana-mana individu meletakkan kenderaan.

Terdapat juga beberapa dinding luar bangunan itu telah dipecahkan dan tingkat bawahnya dijadikan tempat meletakkan teksi.

Menurut Iskandar, dahulunya tempat ini pernah dijadikan sebagai pusat kitar semula sampah sarap namun atas desakan penduduk operasi tersebut berjaya ditamatkan.

Jelas beliau, masalah ini menjadi lebih besar apabila pemaju asal memaklumkan bangunan ini telah dijual kepada pemilik yang baru.

Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan pemilik baru tersebut namun beliau telah dihubungi pihak berkenaan dan akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.

Apa yang penting katanya, bangunan ini perlu kekal sebagai tempat letak kenderaan meskipun telah dijual kepada pemilik baru.

“Kalau ikut kebenaran merancang, tempat letak kereta tetap menjadi tempat letak kereta kecuali kalau ada permintaan daripada penduduk atau pihak lain, kita perlu lihat dan kaji dengan teliti.

?Setakat ini masih kekal sebagai tempat letak kereta,” Katanya yang juga Adun Taman Cempaka.

Terdapat 1,580 tempat letak kereta di kawasan itu termasuk bangunan yang bertingkat.
Iskandar akan meminta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberikan maklum balas siapa yang akan uruskan tempat letak kereta ini supaya dapat beroperasi dengan lebih tersusun.

Selain itu, Iskandar juga berkata 19 pemilik blok di dalam Taman Pandan Indah Commercial Park akan mendapat hak milik strata selepas mereka jelaskan pembayaran cukai tanah.

Di dalam satu mesyuarat minggu lalu, pemaju taman komersial tersebut telah bersetuju untuk membuat permohonan bagi hak milik strata setelah pemilik menjelaskan cukai tanah.

“Itu kita berikan kepada penduduk untuk selesaikan bayaran cukai tanah mereka.

?Apabila mereka membayar sahaja, dalam masa dua minggu pihak pemaju akan hantar permohonan untuk mendapatkan hak milik serata.?

 


Pengarang :