MB :Pelajar Yayasan Selangor Perlu Utamakan Ilmu

KUALA KUBU BHARU, 20 MEI : Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid mengesa pelajar Yayasan Selangor agar terus berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan kerana hanya mengutamakan ilmu akan membawa kecemerlangan dalam kehidupan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Selangor 2011 yang diadakan Kem Bina Semangat Ampang Pecah di sini semalam.

Abdul Khalid juga menyarankan Yayasan Selangor memberi tumpuan kepada golongan pelajar yang tercicir dan kurang cemerlang dalam pencapaian pendidikan bagi memastikan golongan ini mendapat tempat dan mampu mencapai kecemerlangan.

“Anak Selangor adalah aset negeri Selangor yang penting, oleh itu pendidikan di negeri ini seharusnya melibatkan semua golongan secara menyeluruh tanpa ada yang tercicir,”kata beliau.

Oleh itu, Abdul Khalid turut  menyokong dan menyarankan agar semua pelajar  Yayasan Selangor melanjutkan pelaran hingga ke peringkat doktor falsafah.

Dalam ucapan yang sama Abdul Khalid menasihatkan pengurusan Yayasan Selangor agar memantapkan aspek  pengurusan aset  sehingga mampu berdikari sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan negeri dan bersedia dalam dunia persaingan.

Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki dalam ucapannya berkata Yayasan Selangor  meluaskan peranannya dengan menempatkan pelajar tajaan Yayasan Selangor di 50 buah sekolah kawalan di samping dua buah asrama pusat.

Ilham juga berkata, Yayasan Selangor pada tahun ini mengambil inisiatif membantu pelajar generasi tercicir yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik melalui pemberian pinjaman pelajaran.

“Yayasan Selangor memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta bagi melaksanakan program-program tahun 2011,” katanya.

Ilham menjelaskan,Yayasan Selangor memperuntukkan RM3 juta untuk pemberian biasiswa bagi 2,513 orang pelajar yang ditawarkan tempat sebagai pelajar khas pendidikan Yayasan Selangor.

Bagi pinjaman pelajaran,Yayasan Selangor memperuntukkan sebanyak RM8.7 juta bagi membiayai pengajian 1,250 pelajar institusi pengajian tinggi di peringkat diploma dan ijazah.

Tambah Ilham,sebanyak RM350,000 diperuntukkan sebagai biasiswa kepada 50 pelajar peringkat pengajian asas.

“Sebanyak RM504,000 diperuntukkan bagi membiayai pinjaman 81 pelajar di peringkat diploma dan ijazah untuk 2012,”ujarnya.

Turut hadir, Exco Pendidkan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali.


Pengarang :