Kelas Ulangkaji Pelajaran Untuk Tarik Remaja Ke Masjid

KUALA LANGAT 22 July: Bagi menarik lebih anak muda ke masjid dan surau di sekitar DUN Sijangkang, program ulangkaji matapelajaran akan diadakan melalui pejabat ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dr Ahmad Yunus yang juga Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, berkata, cadangan itu timbul setelah melihat program mengimarahkan masjid dan surau kurang mendapat sambutan anak muda kerana tidak menepati cita rasa mereka.

Program ulangkaji itu sebahagian dari kempen Remaja Masjid yang akan bermula selepas waktu Maghrib dan berakhir pada waktu Isyak.

“Pada peringkat DUN, saya telah belikan kerusi dan meja. Satu masjid kita sumbangkan 4 buah meja dan 32 buah kerusi.

?Kita akan buat pendaftaran dan mereka yang datang untuk menelaah pelajaran sambil dipantau oleh seorang guru dari kawasan setempat,” katanya pada majlis pemberian sumbangan kewangan Iftar Ramadan bagi masjid dan surau Sijangkang di Telok Panglima Garang di sini.

Selain itu, beliau turut berhasrat mengadakan program Huffaz peringkat rendah di setiap masjid dengan sasaran setiap pelajar mampu untuk menghafal tiga juzuk Al-Quran setahun.

“Pada yang berjaya kita berikan galakkan dengan menghantar mereka mengerjakan Umrah dan saya kira masjid-masjid mampu dengan kerjasama pihak DUN.

?Walaupun galakkan berbentuk wang ringgit tetapi sudah tentu ianya akan memberikan lonjakkan positif kepada anak muda,” katanya.

Pada majlis tersebut, lapan buah masjid dan 34 buah surau masing-masing menerima RM1,000 hasil sumbangan pejabat DUN Sijangkang.


Pengarang :