Ean Yong : Mangsa Banjir Seri Serdang Akan Dibantu

SHAH ALAM 5 SEPT : Kerajaan Negeri Selangor akan menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang ringgit dalam masa terdekat kepada penduduk di Seri Serdang yang terjejas teruk berikutan kejadian banjir kilat di kawasan itu semalam.

Demikian menurut Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah selepas mengadakan kunjungan ke lokasi bencana awal pagi tadi.

Menurut Ean, Kerajaan Negeri sedang membuat penilaian terperinci terhadap anggaran kerugian dan nilai kerosakan yang dihadapi penduduk berikutan kejadian tersebut.

“Setakat ini,  Kerajaan Negeri mengarahkan Pejabat Daerah Petaling untuk membuat tinjauan (turun padang) bagi membuat laporan berhubung kerugian yang dialami penduduk setempat. Laporan itu nanti akan dinilai sebelum bantuan boleh disalurkan kepada kesemua mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memberi kerjasama baik dengan membantu kerja-kerja pembersihan kawasan kediaman mangsa selain turut menghulurkan bantuan makanan kepada mereka.

Selain mengadakan lawatan, Ean turut menyerahkan bantuan berupa beras kepada mangsa banjir.

Dianggarkan, kira-kira 3,000 penduduk terjejas akibat kejadian banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan.

Kira-kira 600 pelajar dan 23 guru dari dua buah sekolah di Taman Sri Serdang dekat ibunegara, terpaksa diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas terperangkap dalam kejadian banjir kilat itu.

Hujan lebat selama dua jam sejak pukul 4.30 petang itu turut menenggelamkan 100 kenderaan milik penduduk dan 30 milik guru di Sekolah Kebangsaan Sri Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Indah.


Pengarang :