MBPJ Turunkan 85,250 Iklan Haram

PETALING JAYA, 27 SEPT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menurunkan 85,250 pelbagai poster dan banting haram di sekitar bandaraya Petaling Jaya dari Januari hingga September lalu.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, operasi tersebut dijalankan Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MBPJ hasil pemantauan berseterusan serta aduan awam yang diterima pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan pelbagai kesalahan dilakukan peniaga yang membuat iklan tersebut yang mana tindakan terpaksa dilakukan bagi menurunkannya semula supaya tidak mencacatkan pemandangan di kawasan bandaraya itu.

“Dalam tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September melalui Ops Buru dan Ops Jejak, kita mengesan tujuh pihak yang membuat iklan dan hasil pemeriksaan dijalankan ke atas mereka mendapati iklan dibuat kebanyakannya tiada lesen dan tamat tempoh.

“Dari tujuh kes ini, kita dapati empat pengusaha terlibat dalam perniagaan barangan berunsur seks di mana satu sidang media akan diadakan minggu depan bagi menjelaskannya,” beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MBPJ di sini hari ini.

Beliau berkata, MBPJ mensasarkan 10 lagi tangkapan melibatkan kesalahan serupa dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pihaknya juga tidak akan meluluskan lagi iklan berbentuk bilboard atau parpet yang dipasang di kawasan jejantas atau bangunan yang menghalang penglihatan orang ramai.

“Mana yang telah tamat tempoh, kita tidak akan perbaharuinya lagi. Iklan seperti parpet ini kebanyakannya dipasang di jejantas yang menghalang penglihatan pejalan kaki,” katanya.

Dalam kes 85,250 poster dan banting iklan haram yang dikesan itu seramai 52 pemilik iklan telah dikenalpasti dan ditawarkan kompaun RM1,000 setiap satu oleh MBPJ.


Pengarang :