Tony Pua : RM6.77 Juta Untuk Sebuah KR1M Terlalu Tinggi, Untungkan Kroni

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Pakatan Rakyat mendakwa peruntukkan RM 6.77 juta oleh Kerajaan Pusat untuk Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak dianggap terlalu tinggi dan merupakan langkah memberi keuntungan kroni Umno-BN.

Sedangkan sebelum ini kos menyediakan sebuah KR1M dianggarkan hanya menelan belanja sebanyak RM 472,000 sahaja, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Menurut Pua, peruntukan tersebut juga hanya menguntungkan Mydin Mohamed Holdings Bhd yang menerima peruntukan itu secara ekslusif sekaligus membunuh daya saing pekedai-pekedai kecil lain.

“Malah, bila geran RM 386 juta atau subsidi diberikan kepada Mydin akan memberi kesan iaitu membunuh semua pesaing Mydin dari pasaraya hypermarket hinggalah ke pekedai kecil-kecilan.

“Mydin akan mempunyai hak monopoli untuk menjual produk tertentu di harga yang lebih murah daripada pesaingnya disebabkan pemberian eksklusif RM386 juta daripada kerajaan persekutuan,” kata Pua dalam satu sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan peruntukan RM6.77 juta bagi menyediakan sebuah KR1M di Sabah dan Sarawak.

Program yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 386 juta itu diperuntukkan bagi menyediakan 57 KR1M di kedua-dua negeri itu.

Menurut Pua lagi, kerajaan sewajarnya mengagihkan peruntukan RM 386 juta itu kepada pekedai-pekedai sedia ada di Sabah dan Sarawak.

Ini akan membolehkan mereka menjual harga barangan yang lebih rendah sekaligus menguntungkan pengguna di negeri-negeri tersebut.


Pengarang :