Mangsa Banjir Gesa Kerajaan Selangor Adakan Pelan Tindakan

DENGKIL 6 NOV : Kerajaan Negeri digesa mengadakan pelan tindakan banjir yang lebih menyeluruh bagi menolong mereka yang terpaksa dipindahkan ke pusat penepatan sebagai persiapan musim banjir yang akan datang.

Mangsa yang ditemui Selangorkini di pusat pemindahan banjir di sekitar Dengkil berkata bekalan makanan dan keperluan harian mencukupi dan keadaan pusat masing-masing adalah memuaskan.

Sehingga petang ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan seramai 1,853 mangsa berada di lapan pusat pemindahan di sekitar daerah Sepang dan Kuala Langat.

Salah seorang mangsa, Normala Jusoh 38, yang kini menetap di pusat pemindahan banjir di Dewan Gemilang berkata setakat ini kebajikan kira-kira 400 mangsa banjir di situ terjaga.

“Kami secara keseluruhannya berpuas hati dengan penjagaan di sini, ada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Pertahanan Awam, Unit Amal (PAS), bomba dan lain-lain lagi.

“Tempat ini juga dijaga bersih, disembur agar tiada lalat dan bebas kuman, malah ada pegawai kesihatan disediakan untuk memeriksa kami,” jelas ibu kepada sembilan anak ini.

Ketua Kampung Rancangan Tanah Belia, Bukit Changgang, Shamsudin Jantan 62, berkata Kerajaan Negeri perlu menyediakan satu pelan langkah pencegahan banjir yang efisyen.

“Saya percaya Kerajaan Negeri mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian, sekurang-kurangnya mengurangkan risiko banjir, seterusnya kurangkan kerugian mangsa-mangsa banjir.

“Keadaan seharusnya menjadi lebih baik, jika keadaan masih sama seperti 50 tahun lepas, apa gunanya kerajaan yang rakyat pilih ini,” tegas beliau yang kini menetap di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang.

Dianggarkan lebih 700 orang terpaksa dipindahkan di Kampung Bukit Changgang sejak Nov 2 lalu.

Manakala Penyelaras DUN Dengkil, Borhan Aman Shah menjangka jumlah mangsa akan bertambah di Dengkil sekiranya hujan berterusan.

“Insya-Allah, rombongan Menteri Besar juga akan menyusul dengan sedikit bantuan kewangan kepada semua mangsa banjir,” ujar Borhan.

Sehingga kini, 630 mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Dengkil, 675 di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, 49 di Dewan Orang Ramai Bukit Changgang dan 410 di Dewan Gemilang.


Pengarang :