MB: Jaga Kebajikan Umat Islam Elak Gejala Murtad

SHAH ALAM 23 NOV : Kebajikan umat Islam perlu dijaga dengan baik dalam usaha memantau gejala murtad daripada berleluasa.

Usaha itu perlu dijalankan secara konsisten dan berterusan kerana menurut Menteri Besar yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemiskinan adalah antara punca umat Islam terpesong.

“Jadi, kebajikan mesti jadi tumpuan utama kerana mereka yang terjebak dalam gejala ini kebanyakannya terdesak akibat kemiskinan.

“Umat Islam seharusnya dijaga dengan baik oleh institusi Islam sendiri, barulah umat Islam itu kukuh dan kekal dengan Islam,” jelas beliau menjawab soalan daripada Adun Gombak Setia, Datuk Hasan Ali.

Justeru, beliau menggesa institusi seperti Lembaga Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain yang berkaitan untuk bekerjasama menjaga kebajikan umat Islam.

“Kita juga perlu adakan pemantauan yang efisyen dan cekap mengenai perkara ini dan meneliti perkara yang perlu diambil kira.

“Ia bukan usaha yang akan berjaya dalam satu hari namun ia adalah usaha berterusan yang memerlukan sokongan,” tambah beliau yang juga Adun Ijok.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peranan Jabatan Agama Islam Selangor(Jais) dalam usaha memerangi gejala murtad.

“Jais mempunyai pasukan khas untuk memantau aktiviti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap usaha pihak tertentu memurtadkan Umat Islam,” tegas beliau.


Pengarang :