Usaha MAPIM Bantu Rakyat Gaza Dipuji Kerajaan Selangor

Mapim MB Gaza Aziz 01

SHAH ALAM 25 JAN: Komitmen Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dalam menolong penduduk di Gaza, Palestin mendapat pujian Kerajaan Selangor setelah NGO itu berjaya mendirikan beberapa buah masjid di wilayah itu.

Sehingga kini, Mapim telah berjaya menyalurkan dana dari rakyat Malaysia bagi membina Masjid Beit Hanoun, Masjid Umar Abdul Aziz dan Masjid Al-Hikma serta menyediakan bantuan kemanusiaan yang lain untuk rakyat di Gaza.

Penyelaras Mapim Selangor, Abdul Aziz Abu Bakar berkata, projek terbaru Mapim di Gaza adalah membina sebuah hospital baru dengan kos RM 100 juta.

Mapim juga sedang merancang projek mambantu membaiki rumah penduduk Gaza yang musnah dibedil tentera Israel dengan kos RM3,000 bagi sebuah rumah.

Katanya, sebanyak 110,000 keluarga di Gaza hidup di bawah paras kemiskinan dan 70 peratus daripada penduduknya tidak mempunyai pekerjaan.

“Ia bukan bermaksud mereka malas bahkan sangat rajin kerana projek menyiapkan beberapa buah masjid di Gaza hanya memakan masa beberapa bulan sahaja kerana kerajinan penduduk di sana,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian ketika memberikan penerangan mengenai misi Mapim dalam membantu rakyat Gaza sewaktu majlis beramah mesra wakil Mapim bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di kediaman rasmi Menteri Besar petang tadi.

Turut hadir, ahli-ahli Exco Selangor serta wakil Mapim di Gaza, Mohammad Y. Hasna dan Ketua Muslimat Hamas yang merupakan isteri kepada As-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi, Ummu Muhammad Rasha S.A Al Rantisi.

Sementara itu, Mohammad Y. Hasna berkata, rakyat di Gaza amat memerlukan sokongan dan bantuan dalam pelbagai bentuk oleh rakyat Malaysia dalam usaha memerdekakan Palestin.

“Kami sangat berterima kasih dan menghargai sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia dan Mapim sebagai salah sebuah pertubuhan yang sentiasa mengambil berat terhadap penduduk di Palestin ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid memuji sikap dan semangat yang ditonjolkan Mapim kerana sentiasa berusaha mencari dana bagi membantu memulihkan Gaza dan berjaya membina pelbagai infrastruktur untuk rakyat di sana.

“Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dalam membantu misi kemanusiaan untuk penduduk di Gaza serta ia merupakan tanggungjawab kita semua untuk menghulurkan bantuan,” katanya.


Pengarang :