Misdan Adam pada Majlis Flag Off pengeksportan produk syarikat Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd ke Arab Saudi, di Klang pada 19 Ogos 2019. Foto AMIRAHWANI RAHIMI/MEDIA SELANGOR

FAMA komited luaskan produk AgromMakanan

 

KLANG, 19 OGOS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus komited untuk meluaskan pasaran produk AgromMakanan pada peringkat antarabangsa melalui penerokaan pasaran di beberapa buah negara termasuk Arab Saudi pada tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Misdan Adam berkata, FAMA diminta mempergiatkan program ‘3-tier’ pemasaran melalui pembangunan produk, pengukuhan pemasaran dalam negara dan peningkatan pasaran eksport di bawah hala tuju ke empat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut beliau, bagi merealisasikan hasrat itu, FAMA akan membimbing usahawan yang menyertai pameran perdagangan di luar negara bagi mempromosi dan memperkenalkan produk keluaran mereka di bawah Program Pembangunan Pasaran Eksport.

“Menerusi program tersebut, nilai eksport negara khususnya bagi produk keluaran perusahaan kecil sederhana (PKS) asas tani dapat ditingkatkan selain memperkukuh dan menggalakkan usahawan berkenaan menceburi bidang pengeksportan yang memiliki potensi pasaran lebih luas.

“Selain menerokai pasaran baru, fokus pasaran luar FAMA pada tahun ini adalah untuk meningkatkan pertumbuhan negara melalui penyertaan pameran perdagangan untuk produk segar dan proses seperti Australia, China, Hong Kong, Jepun, Singapura, Australia dan Brunei,” katanya pada majlis Flag Off pengeksportan produk syarikat Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd ke Arab Saudi di sini.

Misdan berkata, salah satu program yang disertai FAMA bagi meneroka pasaran di Timur Tengah adalah Pameran Perdagangan Gulfood Dubai 2017 di Dubai.

“Syarikat Ryverra Chocolate & Confectionary Sdn Bhd merupakan antara usahawan PKS di bawah bimbingan FAMA.
Hasil daripada penyertaan itu, syarikat tersebut memperoleh tempahan bagi produk kategori minuman (powder drinks) oleh pengimport dari Arab Saudi.

“Hantaran pertama dilaksanakan pada tahun 2018 sebanyak satu kontena. Bagi tahun 2019, hantaran eksport kedua membabitkan tiga unit simpanan stok (SKU) produk coklat mocha,cappuchino premium dengan nilai eksport sebanyak RM300,000,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kemasukan produk halal Malaysia ke pasaran Arab belum memuaskan walaupun terdapat permintaan sepanjang tahun untuk produk tersebut dari negara ini.

Justeru, kata Misdan, FAMA akan mengenalpasti lebih ramai usahawan yang mampu mengeluarkan produk mengikut kapasiti, kualiti dan mempunyai sijil halal.

Terdahulu, FAMA turut bekerjasama dengan Tabung Haji Malaysia dalam memasarkan produk AgromMakanan ke pasaran Arab Saudi di bawah program My Food For Ummah (MYFFU).

Jika mencapai sasaran tersebut, jemaah haji Malaysia di Arab Saudi juga boleh menikmati produk makanan terpilih sebagai alternatif kepada makanan yang disediakan oleh pihak hotel.


Pengarang :