Lelaki tetak Ketua Polis Daerah Besut direman

BESUT, 16 OGOS: Seorang lelaki direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.

Perintah yang dikeluarkan Majistret Norshuzianna Shakila Raja Mamat ke atas suspek berusia 32 tahun itu membolehkan pihak polis menyiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja.

Suspek ditahan polis pada pukul 4.15 petang semalam di Felda Selasih, Besut selepas cuba melarikan diri.

Dalam kejadian di Kampung Padang Luas, tengah hari semalam, Mohd Zamri, 55, mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan putus ibu jari tangan kanan.

Keadaan beliau dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

– BERNAMA


Pengarang :