Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA

Amal jarak sosial, bukan ‘lock down’ – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 16 MAC: Malaysia perlu lebih kritikal mengekang penularan Covid-19 dengan mengamalkan jarak sosial, bukan mengenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lock down), kata bekas menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah pencegahan tersebut sama seperti diamalkan di Singapura dan Korea Selatan.

“Antara amalan jarak sosial ialah tinggal di rumah melainkan untuk bekerja atau ke klinik. Bagi perhimpunan yang melibatkan lebih 50 orang perlu ditunda atau dibatalkan.

“Majikan juga perlu menggalakkan sistem kerja dari rumah dan cuti sekolah perlu dilanjutkan manakala pembelajaran atas talian boleh dilakukan di semua universiti tempatan,” katanya melalui hantaran di Twitternya hari ini.

Semalam Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menafikan mesej tular berkaitan arahan ‘lock down’ yang dikenakan hari ini ekoran penularan Covid-19.

“Tiada sebarang perintah ‘lock down’ buat masa ini. Mohon hentikan penyebaran khabar palsu seperti ini,” kata Dr Adham di Facebook rasminya.

Pada 10 Mac lalu, Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Pasukan Petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor diketuai Dr Dzulkefly.

Pasukan itu akan bekerjasama dengan Pusat Arahan Smart Selangor untuk mendapatkan maklumat lokasi berisiko tinggi bagi penularan wabak berkenaan.


Pengarang :