SELANGOR

RSU Air Selangor tuntas tangani pencemaran sungai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Inisiatif mencegah pencemaran sungai di negeri ini dilaksanakan menerusi penubuhan Unit Pengawasan Sungai (RSU) Air Selangor.

Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, penubuhan unit itu bagi melakukan kerja-kerja pemantauan terhadap kelestarian sumber air mentah negeri.

“RSU mengenalpasti potensi dan risiko pencemaran terhadap sungai serta anak-anak sungai yang berada di hulu muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) di dalam lembangan sungai tertentu.

“Penubuhannya juga akan menilai air mentah dan sungai berdasarkan Indeks Kualiti Air (WQI) serta mengenalpasti risiko atau sumber pencemaran dalam lembangan sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Jawatakuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS), di Bangunan Annexe, pagi ini.

Berdasarkan maklumat logistik, penubuhan RSU melibatkan 28 kakitangan dengan kemudahan 10 kenderaan bagi menjalankan kerja-kerja pemantauan di lapangan.

Jabatan itu turut menerima peralatan ujian kualiti air melibatkan enam set dengan lain-lain kemudahan seperti GPS, binokular, Go Pro dan Oil Absorbents.


Pengarang :