GAMBAR: AFP
GLOBALPENDIDIKAN

Kunci 20 sekolah bantah pendidikan seks

SAN JOSÉ, 9 FEB: Sekumpulan ibu bapa bertindak mengunci 20 sekolah bagi membantah kelas pendidikan seks untuk remaja, di Costa Rica, lapor AFP.

Mereka menganggap bantahan pada hari pertama musim persekolahan itu dilakukan kerana pendidikan berkenaan ibarat pendedahan kepada seks songsang.

Kementerian Pendidikan Costa Rica melaporkan, bantahan merebak ke beberapa kawasan di selatan dan sekitar Limon yang awalnya berlaku di beberapa kawasan, di utara Amerika Tengah.

Kumpulan ibu bapa terbabit juga dikatakan turut lantang membantah pendidikan seks menerusi media tempatan juga tulisan di laman media sosial, memetik Berita Harian.

Rakaman video seorang lelaki tidak dikenali mendaftarkan anaknya di Sekolah Puerto Escondido di Pital yang membantah program itu juga turut tersebar.

“Kami tidak akan membenarkan pendidikan seks diajar kepada anak kami. Kami bertindak merantai dan mengunci sekolah sebagai bantahan kepada program ini,” katanya.

Bantahan itu dipercayai dicetuskan calon presiden, Fabricio Alvarado wakil Parti Pemulihan Kebangsaan yang juga seorang pendakwah Kristian yang secara terang-terangan menentang perkahwinan sejenis.

Pada masa sama, beberapa ibu bapa yang ditemuramah media Costa Rica berkata, mereka yakin pendidikan seks akan menggalakkan hubungan sejenis tetapi perkara itu dinafikan kerajaan.

Menteri Pendidikan, Sonia Marta Mora, meminta ibu bapa yang meragui pendidikan itu menghubungi pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung program yang sudah dilaksanakan sejak enam tahun lalu untuk pelajar remaja berusia 16 tahun, di sekolah menengah kebangsaan.

 


Pengarang :