SELANGOR

MB: Pembangunan institusi Islam terus diperhebat

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 3 FEB: Kerajaan Negeri terus memberi penekanan terhadap pembangunan institusi Islam dalam usaha memartabatkan Islam seterusnya melahirkan umat memiliki jati diri kukuh.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata program pembangunan institusi seperti Masjid Tun Teja, di sini mampu memperkukuhkan ukhwah di kalangan umat Islam di Selangor.

“Untuk memperkukuhkan pembangunan kerohanian ini, Kerajaan Negeri sentiasa menjalankan tanggungjawab bagi menyediakan sejumlah peruntukan bagi pembangunan institusi Islam termasuk masjid, surau, maahad tahfiz, sekolah rendah agama dan selainnya.

“Walaupun Selangor mempunyai masyarakat pelbagai bangsa dan bersifat kosmopolitan namun Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan umat Islam yang memiliki jati diri Islam yang kukuh dan kuat,” katanya dalam majlis penyerahan bangunan Masjid Tun Teja di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di sini, semalam.

Selain menjadi pusat ibadah, katanya, masjid juga berperanan sebagai pusat pendidikan dan pengembangan syiar Islam di Selangor seterusnya sebagai benteng mengukuhkan untuk ahli sunnah wal jamaah.

Beliau berkata, maka masjid perlu memainkan peranan sebagai institusi tarbiah untuk menyemai nilai murni Islam dan Kerajaan Negeri berkeyakinan pengimarahan masjid dapat melahirkan umat Islam sederhana dan terpuji.

“Pembangunan umat yang berpegang kepada prinsip keadilan dan kesederhanaan adalah paksi kepada kemajuan Selangor.

“Ia bukan sahaja maju dalam sektor industri dan kewangan tetapi juga bersyukur kerana kita tuntas untuk mengimbangi dalam konteks pembangunan kerohanian,” katanya.

Pembinaan Masjid Tun Teja membabitkan kos RM10 juta dimulakan pada 2015 bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di kawasan itu dan sekitarnya.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pengarah JKR Selangor, Ir Roslan Abdul Aziz dan Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

=EZY=


Pengarang :