BERITA UTAMASELANGOR

DYMM Sultan Selangor dukacita penyebaran berita palsu berleluasa

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita terhadap penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa mutakhir ini dan boleh mendorong kepada gejala fitnah.

Baginda turut melahirkan kebimbangan kerana ramai yang percaya dan menyebarkannya kepada orang lain tanpa memeriksa kesahihan terlebih dahulu.

“Suasana kini semakin mencabar apabila berita atau maklumat palsu ditulis secara kemas dan menarik serta mengandungi unsur-unsur logik yang disebarkan secara aktif melalui portal berita atau laman media sosial sehingga ia meyakinkan serta mempengaruhi masyarakat.

“Ia kemudian dikongsikan dan ditularkan secara meluas. Jika keadaan ini berterusan dalam masyarakat, Beta bimbang rakyat terdedah kepada perpecahan sehingga menghancurkan negara,” titah baginda.

Baginda menyampaikan titah berkenaan di Majlis Perasmian Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam serta Menaiktaraf Kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, malam tadi.

Baginda bertitah penularan berita palsu ini dan fitnah bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian rakyat bahkan pentadbiran sesebuah kerajaan.

Titah Baginda, Islam sendiri memandang serius bahaya gejala fitnah dan menyeru rakyat supaya tidak terpedaya dengan berita palsu berunsur fitnah.

“Ingin Beta tekankan juga hukum fitnah dalam Islam adalah haram dan termasuk dalam dosa yang tidak mendapat keampunan Allah SWT kecuali mereka memohon maaf kepada orang difitnah terlebih dahulu.

“Beta menitahkan supaya seluruh umat Islam di Selangor ini bersatu padu dan berpegang kepada ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta menjauhkan diri daripada terjebak di dalam penyalahgunaan internet yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat serta negara,” titah baginda.

Dalam titah sama, Baginda menyeru umat Islam supaya terus memakmurkan dan memeriahkan masjid supaya ia menjadi tempat mulia dikunjungi untuk beribadat dan mengadakan majlis ilmu serta aacara bersesuaian.

Selain itu, baginda turut melahirkan rasa sukacita kerana Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kini telah mempunyai dewan khas yang canggih untuk majlis ilmu dan ia disifatkan kemudahan baik buat umat Islam.

=EZY=


Pengarang :