SELANGOR

Minta SPAN siasat keperluan SPLASH bayar pampasan kepada pengguna

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Suruhanjaya Perkhimatan Air Negara (SPAN) digesa menyiasat kegagalan syarikat konsesi air Selangor, Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyelenggarakan Loji Rawatan Air (LRA) SSP3 hingga menyebabkan kerosakan sebelum membawa kepada kejadian letupan tiga pam baru-baru ini.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata, siasatan itu perlu dibuat bagi menentukan sama ada SPLASH perlu membayar pampasan kepada pengguna di negeri itu.

“Saya minta SPAN menyiasat punca kerosakan sistem loji itu tidak dibaiki selama lebih setahun di mana menyebabkan letupan, sama ada prosedur, adakah diselenggara dengan baik dan keperluan SPLASH membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat, Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, sebagai pemegang konsesi SPLASH harus mengambil tanggungjawab terhadap kejadian bekalan air yang mengakibatkan kerugian kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan peniaga.

Katanya, hal ini dapat dilihat apabila SPLASH juga boleh dianggap cuai kerana tidak membaiki kerosakan tiga pam yang rosak sejak 2016 lagi.

Katanya lagi, SPLASH bukan sahaja tidak memaklumkan status terkini kerja pembaikan kepada Kerajaan Negeri, malah lebih membimbangkan lagi SPLASH juga tidak mempunyai pelan sokongan dalam mengendalikan kejadian kecemasan.

=EZY=

 


Pengarang :