SELANGOR

Selangor sedia hadapi Revolusi Industri 4.0

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC: Pembangunan ekonomi mampan dikecapi Selangor menjadikan negeri itu kondusif bagi menghadapi gelombang Revolusi perindustrian 4.0.

Dekan Selangor Business School (SBS), Professor Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, Selangor dilihat berpotensi mendahului negeri lain untuk terus memacu kepada perkembangan kemajuan revolusi itu.

“Selangor sudah diketahui sebagai sebuah negeri membangun. Justeru perkembangan positif ini mendorong Selangor untuk lebih berdaya saing mendahului negeri lain mengharungi cabaran baru 4.0.

“Atas kapasiti itu, di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, beliau telah memperkenalkan pelbagai dasar baru antaranya pelaksanaan Smart State untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar.

“Justeru, untuk merealisasikan hasrat itu, kita merujuk kepesatan pembangunan Singapura yang sangat berkembang maju dari aspek kemajuan ekonominya.

“Di negeri ini kita dapat merasakan bahawa Selangor mempunyai potensi besar untuk berdiri sebagai sebuah negeri pintar di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas hadir berucap sebagai panel Program Seminar HR anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di UMW Toyota Training Centre, Seksyen 15 pagi ini.

Seminar berkenaan turut mengundang panelis Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Imeritus Dato’ Dr Sheikh Omar Abdul Rahman bagi membincangkan hala tuju pembangunan Revolusi 4.0 di negara ini.

Terdahulu, perkembangan Revolusi 4.0 bakal menyaksikan penggunaan Internet of Things (IOT) dalam hampir semua aspek kehidupan seharian.

Dr Faiz berkata, ia berbeza dengan revolusi industri pertama yang tertumpu kepada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua kepada elektrik, dan ketiga kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).

Katanya lagi, Industri 4.0 membawa perubahan kerja berasaskan teknologi yang akan menggantikan banyak kerja melalui proses automasi hasil bantuan perisian.


Pengarang :