PBTSELANGOR

Konvensyen Generasi Bestari didik guru dan pelajar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menganjurkan Konvensyen Generasi Bestari ‘Melentur Buluh Biar dari Rebungnya’, di The Summit USJ, pada 10 hingga 12 April ini.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, sebanyak 56 sekolah dijangka bakal menyertai program itu, tahun ini sebagai penjenamaan semula Program Anugerah Sekolah Sejahtera yang dilaksanakan, pada 2017.

“Ia adalah program tahunan bagi memberi bimbingan, taklimat dan pendedahan kepada guru serta pelajar untuk pelaksanaan enam modul utama merangkumi 12 aktiviti sekolah sepanjang tahun.

“Kita menganggarkan seramai 2,400 pelajar dan guru akan menghadiri konvensyen kali ini,” katanya dalam mesyuarat penuh MPSJ, baru-baru ini.

Terdahulu, Anugerah Sekolah Sejahtera merangkumi tiga aspek utama iaitu kesihatan dan kebersihan, kelestarian alam sekitar, landskap dan keceriaan.

Melalui aspek itu, tujuh program dilaksanakan di bawahnya seperti pemeriksaan dan pemusnahan Aedes, program kompos sisa organik, cabaran minda hijau, landskap kreatif serta pemeriksaan juga penarafan bintang tandas sekolah.


Pengarang :