SASTERA

Tuhan di dalam poket

Oleh Lokman Hakim

“Cikgu, dia rampas tuhan saya!”

Terpinga-pinga Cikgu Azizah mendengarnya. Selaku guru kaunseling dia harus mendengar berbagai-bagai masalah pelajar hampir setiap hari. Cuma hari ini, dia dibebankan juga dengan masalah keluarganya sendiri. Manakala, dua orang muridnya ini pula, berbeza bangsa dan juga agama, sedang berebut tuhan. Tuhan yang bagaimana? Bingung dia memikirkan.

“Duduk dulu, minum. Cerita dari mula. Kamu dulu.”

Tidaklah Cikgu Azizah begitu fokus pada cerita kedua-dua orang anak muridnya itu. Fikirannya melayang mengenangkan abangnya yang baru saja dihalau dari rumah semalam. Pertengkaran abang dengan ayah ketika itu amat dahsyat. Si abang tidak mampu menanggung gejolak dalam jiwanya. Dia sudah murtad! Dia tidak sanggup lagi bermuka-muka, menurut si ayah pergi ke masjid, disuruh mengaji kitab-kitab fikah, disuruh mengajar anak-anak jiran bertaranum dan sebagainya. Kata si abang, dia sudah keluar dari agama Islam tiga tahun lepas. Mengucap si ayah mendengarnya. Bercucuran air mata. Hati Cikgu Azizah turut tersentuh. Bagaimana, seorang abang yang dahulunya begitu patuh pada agama memilih untuk keluar dari agama sebegitu rupa? Katanya, dia sudah lama memikir dan menjadi pemikir. Membaca dan membanding fakta demi fakta. Mencari kebenaran yang tak pernah menayangkan wajahnya dalam bentuk penuh.

“Pagi tadi, saya bawa tuhan dalam poket saya. Saya ingat nak sembahyang tadi, jadi saya keluarkan. Tiba-tiba dia kata tuhan saya lawa. Dia nak tengok tuhan saya. Saya tak kasi. Mana boleh bagi tuhan suka-suka hati pada orang lain. Dia marah.”

“Tapi Cikgu, saya bukan nak rampas tuhan dia. Saya nak tengok saja. Takkan itu pun tak boleh?”

Terkebil-kebil Cikgu Azizah mendengarnya. Tuhan apakah yang dimaksudkan kedua-dua anak muridnya kali ini? Ia kedengaran berbeza benar dengan tuhan yang diketahuinya, yang baru sahaja ditolak si abang. Ia menjadi lebih misteri dengan ketiadaan ‘tuhan’ yang dimaksudkan dua anak murid di depannya itu. Benar, ceritanya belum tamat. Ditatapnya wajah-wajah polos itu; mencari makna tersirat.

“Mana ada orang simpan tuhan dalam poket. Mana mungkin tuhan dapat dirampas. Mana ada orang pernah tengok tuhan,” ujar Cikgu Azizah. Kebingungan. Hakikatnya, Cikgu Azizah masih gagal memahami konteks tuhan yang dimaksudkan anak-anak muridnya dek kerana fikirannya yang melayang jauh ke rumah.

Abang telah menolak tuhan. Ayah pula menentang penolakan itu dengan menyatakan kebenaran dalam beragama. Abang terus menolak dengan hujah demi hujah kenapa dia menolak agama. Tertegun ahli keluarga yang lain mendengarnya. Ibu terjelepuk di atas sofa, lesu, menangis dan meminta agar kedua-dua orang yang disayanginya itu berhenti bertelagah. Ikutkan hatinya, mahu sahaja tuhan dan agama itu diletak tepi sebentar dan diganti dengan peringatan bahawasanya kedua-dua orang yang bertelingkah itu punya ikatan darah. Namun ibu juga tidak terdaya. Apatah lagi Cikgu Azizah. Dia hanya menyorok di ceruk dapur sambil menekup kedua-dua belah telinganya dengan harapan keluarganya tidak berantakan. Namun begitu, apabila dipejamkan matanya dan difikirkan secara rasional, kedua-dua ayah dan abangnya itu sebenarnya, berkonflik kerana tidak faham sepenuhnya. Si ayah hanya taklid buta, tanpa mahu mempersoal dan gagal memahami dengan lebih lanjut agamanya. Si abang pula memilih murtad kerana jelek dengan perbuatan taklid buta tersebut lantas menolak tuhan atas dasar tersebut.

Tiba-tiba kedengaran ketukan pada pintu bilik kaunseling. Wajah Cikgu Jonathan terpacul dengan seukir jed berbentuk Buddha duduk. Matanya memicing memerhatikan kedua-dua orang anak murid yang terkebil-kebil di situ.

“Hah, ini yang kamu berdua rebutkan bukan? Mujurlah ada orang jumpa dan pulangkan pada Cikgu.”

Terserlah kegembiraan pada wajah pemilik ‘tuhan’ itu tadi. Dia segera mendapatkan jed itu, lalu memasukkan ia ke dalam poket. Cikgu Azizah melopong sejenak, mengenangkan betapa jauh bezanya tuhan yang berlegar dalam fikirannya dengan tuhan yang dimaksudkan kedua-dua anak muridnya itu.

“Saya kena gerak balik ke pejabat, apa-apa hal nanti maklumkan pada saya ya?” ujar Cikgu Jonathan sebelum bergegas meninggalkan bilik kaunseling tersebut.

Mata Cikgu Azizah menyepet, lalu mengerling pula pada anak murid yang mahu merampas jed tersebut tadi. Dia kelihatan bersalah, dengan gayanya menundukkan muka merenung lantai.

“Seelok-eloknya kamu berdua patut faham, kita tak patut berebut tuhan. Tuhan itu ada dalam hati kita, bukan? Jika Cik Lee kita di sini tak nak tunjukkan tuhan dia untuk awak tengok, awak tak boleh paksa dia. Itu salah. Kena hormat pada kepercayaan orang lain.”

Kedua-dua orang anak muridnya itu mengangguk. Cikgu Azizah mengharap mereka tidak akan bertelagah lagi mengenai isu kepercayaan ini. Namun, detik itu menyedarkannya juga betapa dia tidak berdaya untuk mengubah kepercayaan anak-anak murid itu. Dia tidak layak. Tiada sesiapa pun layak sebenarnya kerana kepercayaan itu tumbuh dari jiwa masing-masing. Apa yang menentukan adalah pilihan orang itu sendiri. Didikan hanyalah sekadar jalan.

*

Malam itu, si abang kembali ke rumah. Mata ayah seolah-olah cerlang melihat anak sulungnya itu. Dari biliknya, Cikgu Azizah dapat melihat bagaimana dua orang itu berdakapan dan saling memohon maaf.

“Saya dah jumpa kebenaran,” ujar si abang.

Ayah hanya tersenyum, lemah.

“Ayah tahu. Kebenarannya adalah…”

Cikgu Azizah tidak dapat mendengar selanjutnya, suara mereka begitu perlahan. Mungkin esok dia akan bertanyakan hal itu apabila situasi lebih tenang. Mungkin saja


Pengarang :