NASIONALRENCANA

Menanti hari kemerdekaan Mahasiswa

OLEH SYUKRI RAZAB

1971, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal. Maka bermulalah era kemandoman fikrah kemahasiswaan apabila kuasa mereka dirampas dan dihambat oleh kegilaan politik.

Mahasiswa yang suatu ketika dahulu boleh berdiri secara mandiri dan matang, disempitkan dengan sistem yang melayan mereka tak ubah seperti budak sekolah.

Namun, mahasiswa tidak menyerah. Perlawanan demi perlawan diatur secara berterusan sehingga menyaksikan ramai anak muda mahasiswa yang menjadi korban undang-undang berat sebelah, AUKU.

Tidak sekadar membunuh aktivisme mahasiswa, AUKU juga menutup mulut para cendekiawan Universiti sehingga kesarjanaan mereka terpendam.

Lama kelamaan semakin kurang intelegensia yang berani mengeluarkan pendapat secara jujur dan ikhlas. Malah Majlis Profesor Negara (MPN) sejak dewasa ini hanya menjadi pembentang idea angguk dan geleng.

Pasca kebangkitan mahasiswa tahun 2010, tidak kurang daripada 30 mahasiswa IPTA dan IPTS seluruh negara yang menjadi mangsa akta regresif ini. Mereka dihukum dengan bermacam kesalahan tatatertib yang tidak masuk akal.

Jika ada yang meminta bukti, mungkin mereka boleh melayari laman carian internet dan menulis nama Adam Adli, Safwan Anang, Fahmi Zainol, Syahid Zaini, Haziq Aziz, Anis Syafiqah, dan pasti akan muncul nama-nama lain dalam carian tersebut.

Menganjurkan perhimpunan aman, menyertai perhimpunan aman, menggunakan pembesar suara dalam himpunan, berkempen secara berkumpulan dalam Pilihanraya Kampus, memanggil ahli politik masuk kampus dan pelbagai lagi perkara yang menjadi asbab mahasiswa boleh dihukum di bawah kuasa AUKU.

Dalam kata mudah, Mahasiswa seperti dilarang berfikir secara kritikal dan bertindak secara berani.

Malah untuk menubuhkan organisasi dalam universiti juga terlalu sukar, kerana perlu melalui segala macam karenah badan Hal Ehwal Pelajar.

Di bawah Seksyen 16 AUKU, seorang pelajar yang dituduh akan disiasat oleh Badan Hal Ehwal Pelajar, didakwa oleh Badan Hal Ehwal Pelajar, dihukum oleh Badan Hal Ehwal Pelajar dan perlu merayu kepada Badan Hal Ehwal Pelajar. Ini mencabuli prinsip-prinsip keadilan.

Ada pihak yang mengatakan hanya 20% kandungan AUKU bersifat regresif, selebihnya adalah berbentuk prosedural bagi tujuan urus tadbir Universiti. Oleh itu AUKU tidak perlu dimansuhkan secara total tetapi hanya perlu melalui beberapa pindaan.

Untuk yang masih berpijak di atas hujah ini, kita katakan kepada mereka bahawa AUKU itu sendiri digubal bermotifkan politik. AUKU hanya bernyawa apabila ada aktivis mahasiswa yang perlu dihukum.

AUKU hanya kelihatan wujud apabila ada ahli akademik yang perlu ditutup mulutnya. AUKU digubal untuk menjadi alat pemerintah dalam mendiamkan suara-suara yang menyanggah.

Semestinya kita memerlukan satu tatacara pengurusan untuk mentadbir puluhan IPTA dan ratusan IPTS dalam negara ini. Oleh itu satu akta baru yang bersifat lebih progresif perlu digubal bagi mengangkat semula universiti sebagai gedung kesarjanaan. Semestinya akta ini wajib menghormati hak-hak kebebasan akademik dan kemahasiswaan.

Tidak cukup dengan AUKU, beberapa akta lain yang senada dengan AUKU juga perlu disemak semula seperti AKTA IPTS dan AKTA UITM.

Justeru adalah sangat dinantikan pengumuman bersejarah termansuhnya AUKU, lantas memulangkan kembali kebebasan akademik dan kemahasiswaan.

Mahasiswa yang bebas akan menjadi agen penting dalam menyemak imbang urus tadbir Negara.

* Syukri Razab adalah Pengarah Strategi Pemuda Harapan Malaysia

 

 


Pengarang :