BERITA UTAMASELANGOR

Gandingan Anwar dan Azmin igauan buat lawan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JULAI: Gandingan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan igauan ngeri kepada parti lawan.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, gandingan padu itu mampu menstabilkan dan memaksima perjuangan agenda Reformasi yang dibawa sejak 20 tahun lalu, demi permuafakatan serta perpaduan secara menyeluruh tanpa mengira perbezaan kaum mahupun warna kulit.

Beliau berkata, hasrat dan kesediaan Anwar menawarkan diri bertanding jawatan Presiden KEADILAN, pada pemilihan kali ini adalah rahmat bagi seluruh keanggotaan juga Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kesediaan Bapa Reformasi Negara kembali berada di tampuk kepimpinan parti yang menyatu-padukan bangsa dilihat tepat, pada masanya sehingga PAKATAN diangkat sebagai juara rakyat membentuk kerajaan baru dengan menghukum Barisan Nasional, pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

“Bagaimanapun, hasil kerja dan kepimpinan Presiden KEADILAN, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendokong perjuangan hingga ke tahap ini diiktiraf umum dan pengorbanannya memberi ruang jawatan itu kepada Anwar sangat menyentuh hati ramai pihak,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Daroyah berkata, pacuan kegemilangan itu wajar dibawa sama bukti kisah kejayaan dan kecemerlangan Kerajaan Negeri yang dilonjak semasa pimpinan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin selaku Dato’ Menteri Besar, sebelum ini.

“Pengalaman bersama pentadbiran beliau sepenggal dengan membawa dasar #SmartSelangor Membangun Bangsa Memakmur Negeri sangat mengujakan selain menerima sokongan sangat positif daripada rakyat.

“Pelbagai tawaran Inisiatif Peduli Rakyat diilhamkan jelas berjaya membuka mata bukan sahaja rakyat Selangor, malah seluruh negara sehingga menyemarakkan tsunami rakyat yang akhirnya membuahkan kejayaan dengan pembinaan Malaysia Baru, hari ini,” katanya.


Pengarang :