NASIONALWANITA & KEBAJIKAN

Girl2Leader latih remaja wanita jadi pemimpin politik masa depan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Girl2Leader, sebuah organisasi yang diwujudkan khas bagi melatih remaja wanita menjadi pelapis politik pada masa hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia berikutan Malaysia masih ketinggalan apabila jumlah pemimpin politik wanita dilihat masih kekurangan dan kebelakang berbanding negara lain.

“Perkara ini patut diubah memandangkan kita sudah menghampiri tahun 2020, jika dilihat Filipina dan juga Thailand, mereka sudah jauh ke hadapan dalam melibatkan wanita sebagai pentadbir negara.

“Jadi bagi era Malaysia baru ini, Kerajaan mahu melihat potensi-potensi wanita muda dalam arena politik negara,” katanya ketika Pelancaran Girl2Leader Malaysia di Hotel Corus, hari ini.

Sementara itu Presiden Girl2Leader, Nurainie Haziqah berkata, program itu melibatkan remaja berusia dari 16 hingga 25 tahun daripada pelbagai bidang dan kaum.

Katanya, kesemua ahli akan menjadi penggerak komuniti serta pemimpin masyarakat dan negara pada masa akan datang.

“Pelbagai aktiviti telah dirangka bagi memperdaya dan memperkasa wanita muda dengan keyakinan dan pengetahuan bagi mendepani cabaran politik global dan tanah air.

“Saya berharap Girl2Leader akan menjadi aspirasi wanita muda di negara ini dalam mewujudkan komuniti wanita berdaya saing, cekal dan dihormati,” katanya.

 


Pengarang :