NASIONAL

Anwar berhak tegur ahli KEADILAN – Zuraida

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak menegur ahli-ahli kepimpinannya demi kelangsungan parti berkenaan.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, tambahan lagi Anwar bakal menggalas tanggungjawab sebagai Presiden KEADILAN tidak lama lagi.

“Tidak mengapa jika Anwar hendak menegur serta memberi amaran kepada ahli-ahlinya supaya tidak mengamalkan politik kotor dalam pemilihan parti kali ini.

“Tun M juga pernah berkata bahawa mentaliti kita masih belum berubah dan masih ada yang ingin membangkang walaupun sudah menjadi kerajaan.

“Sedangkan ini adalah masa terbaik untuk kita turun padang dan bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan parti,” katanya dalam sidang media.

Zuraida berkata, beliau juga tidak akan menggunakan taktik serangan peribadi untuk menang dalam pemilihan parti.

Katanya, era politik kotor sudah berlalu dan calon bertanding sepatutnya bertindak lebih matang dalam menentukan hala tuju parti.

“Saya berharap kawan-kawan yang masih gunakan taktik ini sebagai senjata supaya tinggalkanlah kaedah itu.

“Kedudukan saya tidak akan tergugat dengan permainan ini malah akan terus bekerja seperti biasa kerana ahli parti dan masyarakat nampak usaha saya lakukan,” katanya.


Pengarang :